Lompat ke konten Lompat ke sidebar Lompat ke footer

Sejarah dan Keutamaan Wirdul Latif


Sejarah dan Keutamaan Wirdul Latif


 

A. Sejarah Wirdul Latif


Wirdul-Latif adalah satu dari susunan wirid dan zikir oleh Al-Imam Al-Habib Abdullah bin Alawi Al-Haddad. Selalunya ia dibaca berseorangan pada waktu pagi dan petang. Seperti karangannya yang lain, Imam Haddad menguatkan wirid ini dengan ayat-ayat Al-Quran dan hadis.

Dengan cara tulisannya yang senang difaham, pendek dan tepat, beliau menyusun ayat-ayat Al-Quran dan Hadis untuk berzikir kebesaran dan kelebihan Allah. Dinamakan Wirdul-Latif (wirid ringan) sebab senang dibaca dan senang dirasakan di hati kita. Juga sebab ia tidak begitu panjang seperti wirid yang besarnya, iaitu Wirdul-Kabir.

Karangan dan bacaan Wirdul-Latif di sini ialah seperti yang dianjurkan oleh pengikut-pengikut, murid-murid dan muslimin di negeri Arab, Semenanjung Asia dan Afrika, dari keturunan Al-Haddad, Munsib-munsibnya di maqam Imam al Haddad di Al-Hawi, Tarim - Hadhramaut di negara Yaman.

Imam Alawi bin Ahmad bin Hassan Al-Haddad, anak kepada cucu beliau telah menyusunkan wirid ini dengan mengurangkan jumlah bacaan tasbih dan tahmeed. Perulangan tasbih dan tahmeed dikurangkan kepada tiga dan ditambah satu ayat untuk gantinya. Baginda mengikut arahan Allah seperti di Surah Al-Baqarah Ayat 286 : “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

Diriwayatkan daripada Anas r.a. katanya: Rasulullah s.a.w telah masuk ke masjid dan baginda mendapati ada seutas tali yang direntangkan di antara dua tiang, lalu baginda bertanya: “Tali apakah ini?” Para Sahabat menjawab, “Tali itu digunakan oleh Zainab untuk sembahyang, apabila dia merasa malas atau keletihan dia akan berpegang pada tali tersebut.” Rasulullah s.a.w bersabda lagi, “Lepaskan ikatan tali tersebut, seseorang dari kamu hendaklah bersembahyang dengan keupayaan yang ada pada dirinya, apabila dia malas atau letih maka hendaklah dia berhenti.” Zainab adalah seorang yang kukuh imannya. Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Zainab r.a. jikalau ia mahu belajar satu zikir yang berpahala serupa dengan membaca bilangan zikir-zikir ini. Dan Baginda pun berkata, “tambahkan kalimah ‘seberapa banyak ciptaan Nya’ kepada setiap tasbih, taslim and tahmeed”.

Sudah tentulah lebih baik kalau kita ada masa dan tenaga untuk membaca wirid ini dengan sepenuhnya. Insya Allah Allah akan memberi kita taufiq dan hidayat dan merahmati Al-Habib kita serta memimpin kita ke jalan yang benar.


B. Keutamaan Wirdul Latif


Tersebut di dalam al-Maslakul Qariib li Kulli Saalikin Muniib karya al-‘Arifbillah al-Habib Thohir bin Husain bin Thohir ra (Faedah) Jalan-jalan yang menyampaikan kepada Allah Ta`ala adalah sebanyak bilangan nafas segala makhluk. Semuanya dibina atas dasar al-istiqamah dan menuruti Junjungan Nabi , mendidik jiwa dengan mensucikan dan membersihkannya daripada segala akhlak yang keji serta menghiasinya dengan akhlak – akhlak mulia, sehingga terpancar kepadanya segala anwar dan tersingkap segala asrar, sehingga mencapai setinggi-tinggi martabat ketaqwaan kepada Allah.

Di antara sebaik-baik jalan yang berterusan diamalkan sejak berzaman oleh para pengamal dengan istiqamah adalah thoriqah para Saadah ‘Alawiyyin (jalan para pemuka Bani ‘Alawi iaitu anak cucu Imam ‘Alawi bin ‘Ubaidillah bin Ahmad al-Muhajir رحمهم الله تعالى) yang diasaskan atas dasar ilmu dan amal menurut apa yang diterangkan oleh al-Imam Hujjatul Islam al-Ghazali رحمه الله تعالى dalam kitab Ihya’ Ulumiddin, khasnya pada pertengahan yang kedua daripada kitab tersebut, kerana beliau telah menerangkan padanya perkara-perkara yang memusnahkan (al-muhlikaat) dan yang menyelamatkan (al-munjiyyat). Dengan mengetahui perkara tersebut, dapatlah disucikan diri daripada sifat-sifat yang keji dan dihiaskannya dengan sifat-sifat yang mulia.

Di antara zikir-zikir yang paling elok bagi ahli thoriqah ini (yakni Thoriqah Saadah ‘Alawiyyin/Thoriqah Saadah Baa ‘Alawi) adalah segala zikir yang telah dikumpul oleh Quthubul Haqiqah wal Irsyad al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad رحمه الله تعالى. Antaranya apa yang beliau himpunkan dalam kitab Miftaahus Sa`aadah, di dalamnya beliau telah menghimpun kebanyakan zikir-zikir yang sahih yang warid daripada Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, di antaranya al-Wirdul Lathiif yang dibaca pagi dan petang, jika tidak berkelapangan maka memadai diamalkan pada waktu pagi sahaja. Faedah-faedah al-Wirdul Lathiif ini sangat banyak dan tidak terhingga, sesiapa yang membaca syarahnya dia akan melihat kelebihan faedah-faedahnya dan akan melaziminya dengan bersungguh-sungguh.

Dan di antaranya juga adalah ratibnya yang masyhur dengan nama Ratibul Haddad yang dibaca orang selepas sholat ‘Isya’. Ianya ringkas sahaja dengan bacaan-bacaan yang pendek tetapi mempunyai manfaat besar dan tidak terkira kelebihan dan keajaibannya. Dengan sebab keberkatannya, pengamal-pengamalnya akan menerima berbagai bantuan (madad) dan anugerah daripada Allah Ta’ala yang tidak putus-putus. Ratib ini bermanfaat bagi orang dewasa, kanak-kanak, golongan atasan, golongan bawahan, peringkat muntahi (peringkat kesudahan), peringkat mutawassith (peringkat pertengahan) dan juga peringkat mubtadi (peringkat permulaan). Sesiapa yang istiqamah mengamalkan ratib ini akan dikayakan Allah (yakni segala keperluannya akan dipenuhi Allah Ta’ala). Demikianlah penjelasan al-‘Arifbillah al-Mannan, asy-Syaikh ‘Abdullah BaSaudan رحمه الله تعالى, yang mensyarahkan ratib tersebut.

Dan daripada zikir-zikir yang terbaik juga untuk diamalkan waktu petang dan pagi, yang mengandungi zikir-zikir yang warid daripada Junjungan Nabi , adalah apa yang terkandung dalam kitab al-Maslakul Qariib li kulli Saalikin Muniib susunan al-‘Arifbillah al-Habib Thohir bin Husain bin Thohir Baa ‘Alawi. Kitab al-Maslak ini mempunyai banyak manfaat dan faedah-faedah yang masyhur. Sesiapa yang berterusan mengamalkannya, dia akan terpelihara daripada gangguan jin dan manusia dan daripada segala yang di langit dan di bumi. Pendeknya segala-galanya itu terletak atas dasar keikhlasan dan niat yang baik, maka apabila baik niat akan terhasillah natijahnya.

Sumber : Pondok Habib

7 komentar untuk "Sejarah dan Keutamaan Wirdul Latif"

  1. Alhamdulillah, bekal ilmu yang manfaatnya baik dan banyak..

    BalasHapus
    Balasan
    1. Terima kasih atas apresiasinya, semoga bermanfaat.

      Hapus
  2. Alhamdulillah saya baru belajar mengamalkannya dn semoga d berikan kesehatan panjang umur untuk semua ummat...

    BalasHapus
    Balasan
    1. Semoga diberikan kekuatan untuk Istiqamah. Amin Yaa Rabbal 'Aalamiin

      Hapus
  3. Saya baru membaca wirdul Latif semoga selalu istiqomah

    BalasHapus
    Balasan
    1. Amin, Ya Rabb.
      Keistiqamah merupakan awal dari datangnya karomah. Semoga.

      Hapus
  4. Perlu ijazah dulu.kah...

    BalasHapus